AMALAN MALAM JUMAAT.
Pada malam Jumaat ini banyak amalan-amalan yang mesti kita lakukan dalam usaha kita memperbanyakkan amal ibadah kepada Allah SWT. Di dalam kita melaksanakan segala amal ibadah yang dianjurkan, janganlah kita mengharapkan keutamaan semata-mata sehingga kita lupa bahawa semuanya itu merupakan tanggungjawab yang mesti kita laksanakan. Jadikanlah keutamaan yang ada dalam setiap amalan itu merupakan motivasi untuk kita mempertingkatkan lagi mutu ibadah kita. Yang paling penting kita mengharapkan keredhaan Allah SWT. Diantara amalan-amalan malam Jumaat yang perlu kita lakukan adalah:
1.MEMBACA SURAH AL-KAHFI
Bahawa sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat itu, diampuni Allah dosanya dari Jumaat ke Jumaat (ia diberi cahaya kesucian oleh Allah antara Jumaat ke Jumaat). Sabda Rasulullah SAW:
“Dari Abu Said Al-Khudri ra. dari Nabi SAW bahawa Baginda bersabda: Siapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka disinari Allah baginya dengan antara dua Jumaat. ”Dan pada suatu riwayat lain: “Diampuni oleh Allah dosanya antara Jumaat hingga ke Jumaat yang lain.” (Diriwayatkan oleh Baihaqi)
2.MEMBACA SURAH YAASIN.
Dari Abu Hurairah ra. sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda:
“Sesiapa yang membaca surah Yaasin pada malam Jumaat maka pagi-pagi ia mendapat pengampunan. ”Dalam hadis lain Rasulullah SAW menjelaskan keutamaan surah Yaasin tersebut: “Siapa yang membaca surah Yaasin dengan tulus ikhlas kerana Allah, maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lalu, maka bacakanlah pada orang-orang yang akan mati (atau orang yang telah mati )”(HR Baihaqi)
3.MEMPERBANYAKKAN ZIKIR,DOA DAN SELAWAT.
Banyak sekali hadis-hadis yang menyebut tentang selawat kepada Nabi ini, baik berhubung dengan keutamaannya,atau anjuran membacanya. Di antaranya: Dari Abdullah bin Amar bin Ash ra. sesungguhnya ia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku, Allah berselawat (memberi rahmat) kepadanya sepuluh kali kerana selawatnya itu.” (HR Muslim)
Dari Abdullah bin Mas’ud bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
“Manusia yang paling utama bersamaku nanti pada hari Kiamat, ialah orang yang paling banyak megucapkan selawat kepadaku.” (HR Tarmizi )
Dari Abu Hurairah ra. ia berkata Rasulullah SAW bersabda:
“Jangan kamu jadikan kuburku tempat berhari raya dan ucapkanlah selawat kepadaku, kerana selawatmu itu akan sampai kepadaku, dimana kamu berada.” (HR Abu Daud)
Dari Aus bin Aus ra.ia berkata,Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya hari yang paling afdhal bagi kamu ialah hari Jumaat, oleh kerana itu perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari itu. Sebabnya selawat kamu ucapkan itu akan dinampakkan kepadaku. Maka mereka berkata : Wahai Rasulullah bagaimana selawat yang kami baca itu jelas bagimu, padahal(nanti) (jasad kasar) kamu sudah hancur. Baginda bersabda :Sesungguhnya Allah mengharamkan bumi (memakan) atas jasad para Ambiya (nabi-nabi).” (HR Abu Daud,An-Nasai dan Ibnu Majah dengan isnad-isnad sahih)
4.SOLAT MALAM JUMAAT.
Mendirikan Solat Malam Jumaat adalah antara waktu Maghrib dan Isyak dengan 12 rakaat.Tiap dua rakaat dengan satu malam.
a)Lafaz niat:
“Sahaja aku solat dua rakaat sunat kerana Allah Taala.”
b)Rakaat pertama selepas doa iftitah, baca al-Fatihah dan kemudian baca surah al-Ikhlas sebanyak 11 kali.
c)Rakaat kedua selepas al-Fatihah jug abaca surah al-Ikhlas 11 kali.
d)Dirikanlah solat tersebut hingga cukup 12 rakaat.
5.QIYAMULLAIL (SOLAT MALAM)
Qiyamullail iaitu bangun pada malam hari untuk mengerjakan ibadah kepada Allah SWT. Kemudian bermunajat kepada-NYA untuk memohon keampunan dengan mengerjakan ibadah solat sunat seperti solat sunat tahajjud, solat sunat tasbih, solat sunat taubat, solat sunat hajat, solat sunat witir serta solat-solat sunat yang lain. Oleh itu banyakkanlah berzikir, bertasbih, bertahmid dan bertakbir, serta memperbanyakkan permohonan dan doa kepada Allah SWT. Di antara ayat-ayat al-Quran yang menerangkan Qiyamullail iaitu: Firman Allah SWT ertinya: “Sesungguhnya Tuhanmu mengetahui bahawasanya kamu berdiri (Solat) kurang daripada dua pertiga malam atau seperdua malam atau sepertiganya dan demikian pula segolongan daripada orang-orang yang bersama kamu. ”Firman Allah SWT ertinya: “Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk tuhan mereka. Dan orang-orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, jauhkan azab jahanam daripada kami, sesungguhnya azab itu adalah kebinasaan yang kekal.”
AMALAN SUBUH JUMAAT
Setelah kita bangun dari tidur pada subuh hari kita masih dituntut supaya memperbanyakkan amal kepada Allah SWT walaupun pada malamnya telah memperbanyakkan membaca al-Quran, berdoa, berzikir serta berselawat kepada Nabi SAW, ditambah pula dengan solat malam, namaun pada subuh dan siang Jumaat masih banyak lagi amalan yang perlu kita lakukan. Semuanya untuk menambah nilai amalan kita. Diantara amalan-amalan yang perlu kita lakukan pada subuh Jumaat itu ialah:
1.DOA SEBELUM SOLAT SUBUH
Sebelum solat subuh kita perlu membaca doa ini sebanyak tiga kali.
“Aku memohon keampunan Allah, tiada Tuhan selain Dia yang hidup lagi berdiri dengan sendirinya, aku bertaubat kepada-NYA.”
Semoga Allah akan mengampuni dosa-dosa yang ada pada kita sekaligus diri kita terhindar dari perbuatan dosa kecil dan dosa besar. Sabda Rasulullah SAW : Dari Anas ra.dari Nabi SAW bersabda :
“Sesiapa sebelum solat subuh Jumaat membaca: Aku memohon keampunan Allah, tiada Tuhan selain Dia yang hidup lagi yang berdiri dengan sendirinya, Aku bertaubat kepada-NYA” sebanyak tiga kali, nescaya Allah mengampuni dosa-dosanya walaupun seumpama (banyak) buih di laut.” (HR Ibnu Suni)
2.MEMBACA SURAH AS-SAJADAH.
3.MEMBACA SURAH AL-INSAN
Diharapkan atau di usahakan kedua ayat ini di baca dalam solat subuh.
4.MEMPERBANYAK ZIKIR KEPADA ALLAH.
Setelah mengerjakan solat Jumaat,maka usahakanlah dengan banyak mengingat Allah SWT.Di antara zikir-zikir yang boleh kita amalkan iaitu:
Ertinya: “Ya Allah,selamatkan hamba Mu daripada api neraka.”
5.MEMPERBANYAKKAN DOA.
Kita hendaklah memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT, kerana pada hari Jumaat ada masa yang paling mustajab yang akan di kabulkan Allah terhadap hamba yang bermohon ketika itu. Banyak sekali doa-doa yang di anjurkan oleh Rasulullah SAW agar kita mengamalkannya. Doa-doa tersebut hendaklah kita baca dan amalkan bukan saja pada hari Jumaat tetapi juga baik diamalkan pada hari-hari yang lain. Antara doa-doa yang perlu diamalkan ialah doa kebaikan dunia dan akhirat, doa mendapat kenikmatan (syurga) Ilahi, doa menjauhi gangguan syaitan, doa agar diampunkan dosa dan doa terhindar perkara buruk.
AMALAN SIANG JUMAAT
Antara amalan menjelang solat Jumaat ialah:
1.SOLAT SUNAT DHUHA.
Solat Dhuha dilakukan ketika matahari sedang naik iaitu antara jam 8.00 pagi hingga jam 11.00 pagi. Jumlah rakaat tidak terbatas dari dua rakaat sehingga 12 rakaat. Tiap dua rakaat dengan satu salam.
2.MANDI SEBELUM PERGI SOLAT JUMAAT.
Dalam sebuah hadis diterangkan dari Ibnu Umar ra. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa di antara kamu yang datang ke Jumaat maka hendaklah ia mandi. ”Tentang permulaan waktu mandi, mulai dari terbit fajar sadik di hari Jumaat itu hingga masuk waktu sembahyang Jumaat. Tetapi yang lebih utama mandi ketika hendak berangkat ke Jumaat, kerana tujuannya ialah untuk menghalang bau yang tak sedap melekat di badan.
3.MEMAKAI WANGI-WANGIAN.
Rasulullah sangat suka dengan wangi-wangian. Dan baginda tidak pernah menolak hadiah yang diberikan seseorang dalam bentuk minyak wangi ini. Di samping Rasulullah SAW bersifat zuhud, tawaduk serta mengutamakan orang lain, baginda gemar kepada kebersihan badan dan pakaian. Baginda suka menampakkan dirinya kepada keluarga dan sahabatnya dengan sikap yang baik dan dengan pakaian yang baik. Rasulullah SAW suka kepada wangi-wangian dan tidak menyukai bau yang tidak sedap, baginda mempunyai sakkah(minyak wangi) yang baginda pakai. Oleh kerana itu, baginda mahu menerima hadiah yang berupa minyak wangi dan tidak pernah menolak. Pernah Sayidatina Aisyah membuat baju jubah dari bulu untuk baginda, ketika di pakai keluarlah peluh baginda berbau bulu lalu baginda lepaskan baju itu. Baginda juga mempunyai selimut yang diberi za’faran. Kadang-kadang baginda solat bersama orang ramai dengan memakai selimut itu. Rasulullah SAW memotong kukunya, menggunting rambutnya pada hari Jumaat sebelum berangkat ke masjid untuk solat.
p/s : apa yang boleh d amalkan, amalkan lah semoga mendapat berkat dari Allah.
*note : sharing is caring
No comments:
Post a Comment